Setiap individu pasti sentiasa inginkan badan yang sihat dan terhindar daripada penyakit hingga ke hari tua. Semua akan setuju jika diberitahu caranya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Betul tak?
Kerana apabila diri sendiri atau ada ahli keluarga jatuh sakit, pasti ia melibatkan tekanan emosi dan juga kewangan.
Namun begitu, tidak semua tahu cara dan mahu mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Kesannya mereka menghidap penyakit kronik dan menjadi gemuk (obesiti) yang boleh membawa kepada kematian.
Oleh kerana saya bertugas sebagai doktor di unit rehabilitasi, pesakit strok, jantung, kudung kaki akibat kencing manis dan kanser adalah jenis penyakit yang biasa saya lihat.
Seringkali, nasihat utama saya adalah untuk mereka amalkan cara-cara untuk menjadikan badan sihat dan mengawal penyakit kronik mereka.
Saya bersungguh-sungguh
Namun, biasanya mulut saya saja yang banyak berbuih dan saya sahaja yang nampak bersemangat bila terangkan caranya.
Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Kebanyakan pesakit saya yang berumur 60 tahun ke atas memang sangat susah untuk mengubah gaya hidup mereka yang tidak sihat.
Oleh itu, cara-cara untuk hidup sihat sepatutnya diamalkan sejak usia muda lagi bagi mengelakkan risiko penyakit kronik.
Amalan-amalan ini tidak seharusnya menjadi rujukan untuk menulis karangan PT3 dan SPM sahaja tetapi sepatutnya diterapkan secara berterusan dalam kehidupan.
Usaha untuk badan yang sihat perlu dilakukan bermula daripada usia muda dan bukan hanya mula berubah apabila sudah jatuh sakit.
Rumusan: Semua orang inginkan badan yang sihat tetapi tidak semua yang berusaha untuk dapatkannya. Kesedaran seharusnya bermula di usia muda. Maksudgaya hidup sihat
Berdasarkan WHO, menjalani gaya hidup yang sihat bermakna kita melakukan amalan-amalan tertentu seperti menjaga pemakanan dan bersenam dalam mengurangkan risiko penyakit dan kematian.
Tidak semua penyakit dapat dielakkan, tetapi penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti boleh dielakkan dengan amalan gaya hidup yang sihat.
Malaysia merupakan negara yang mempunyai kadar kegemukan (obesiti) tertinggi di Asia dan bilangan kes penyakit tidak berjangkit juga meningkat dari tahun ke tahun.
Oleh itu, adalah penting bagi semua individu untuk ketahui kepentingan mengamalkan cara hidup yang sihat.
Rumusan: Mengamalkan aktiviti harian yang menyihatkan menghindar diri daripada risiko penyakit dan kematian.
Kepentingan amalan sihat
Mengamalkan cara hidup yang menyumbang kepada kesihatan badan yang baik adalah penting dalam mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik.
Apabila kita berusaha mengelakkan penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi, ia membantu mengurangkan risiko kita mendapat penyakit yang boleh membawa maut seperti serangan jantung, strok dan kanser.
Dari tahun 2006 ke tahun 2015, bilangan pesakit kencing manis di Malaysia meningkat sebanyak 6% dan bilangan pesakit darah tinggi kekal tinggi pada 30%.
Lebih menakutkan, 50% daripada mereka tidak sedar mereka menghidapi penyakit tersebut.
Perkara inilah yang saya cuba tekankan pada pesakit-pesakit saya. Tapi kebanyakan mereka hadir ke hospital dengan kesan-kesan buruk penyakit tersebut.
Nasi sudah menjadi bubur.
Ia adalah kesan daripada menjalani kehidupan harian tanpa mengambil berat akan kesan sesuatu amalan kepada kesihatan.
Antara amalan-amalan yang tidak baik untuk kesihatan adalah tidak menjaga nutrisi pemakanan harian, tidak aktif dan tidak bersenam.
Kegemukan (obesiti), tekanan mental yang tidak terkawal dan juga tabiat buruk seperti merokok dan alkohol juga merupakan amalan yang tidak sihat.
Dr Hidayatul Radziah, ketua editor di The Malaysian Medical Gazette juga menulis dalam artikelnya bahawa “kita perlu menangani dua risiko utama penyakit tidak berjangkit iaitu pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam”.
“Langkah pertama adalah mengakui penyakit tidak berjangkit ini adalah satu masalah,” tambah beliau lagi.
Rumusan: Kepentingan mengamalkan cara hidup yang sihat adalah bagi mengelakkan risiko penyakit yang boleh membawa maut.
Faedah mengamalkan gaya hidup sihat
Dengan kesihatan yang baik, ia mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.
Sekaligus mengurangkan hidup terbeban akibat komplikasi penyakit tersebut yang boleh menyebabkan masalah sosial, ekonomi dan emosi.
Sebagai contoh, Amir – seorang lelaki berumur 50 tahun, bekerja sebagai pemandu lori. Dia juga adalah seorang suami dan ayah kepada 6 orang anak yang masih bersekolah.
Dia tidak mengamalkan cara hidup yang sihat; tidak menjaga pemakanan, tidak bersukan, tidak membuat saringan kesihatan dan juga merokok 20 batang rokok sehari.
Pada suatu hari, sebelah kanan badannya lemah, tidak boleh bercakap dan tak sedarkan diri. Doktor sahkan Amir mendapat strok pendarahan otak akibat tekanan darah terlalu tinggi.
Jadi apa faedah mengamalkan cara hidup yang sihat?
Ia merupakan salah satu usaha untuk menghindar diri daripada penyakit-penyakit kornik yang boleh memberi kesan pada hidup kita.
Badan yang sihat juga memberikan kita peluang untuk memajukan diri dalam apa jua pekerjaan atau perusahan ekonomi yang kita sedang jalankan.
Kemajuan dalam pekerjaan atau perusahan adalah penting dalam mengeluarkan diri dan keluarga daripada bebanan ekonomi.
Masa dan aktiviti berkualiti bersama keluarga juga terjamin. Ini memberi kita peluang untuk membentuk institusi keluarga yang bahagia dan melahirkan anak-anak yang berjaya.
Tanpa kesihatan yang baik juga menganggu niat kita untuk beribadah kepada Tuhan. Tanpa badan yang sihat, ia merencatkan kebolehan kita untuk beribadah seperti bersolat dan berpuasa.
Nak pergi tunaikan ibadah haji dan umrah juga terbatas.
Bagi Amir – watak fiksyen kita dalam contoh ini;
Amir tidak dapat berdikari, isterinya perlu melakukan semua aktiviti asas untuknya seperti memberi makan, mandi dan menukar pampers.
Amir hilang pekerjaan. Keluarga Amir hilang sumber pendapatan. Ini meletakkan beban kepada isterinya kerana perlu fikirkan cara menjaga Amir dan juga mecari nafkah.
Anak-anak Amir terabai. Mereka juga tidak menunjukkan kemajuan dalam persekolahan akibat gangguan emosi dan tekanan daripada rumah.
Amir juga tidak dapat solat dengan sempurna, tidak berpuasa dan tidak mampu menunaikan umrah atau haji.
Adakah kita mahu jadi seperti Amir?
Tetapi kes pesakit beginilah yang menjadi teras pada tugas saya di unit rehabilitasi. Saya, bersama Pakar, Pegawai Pemulih-Cara dan Cara-Kerja akan berusaha bantu pesakit seperti Amir berdikari semula.
Tapi itu saya akan ceritakan di lain hari.
Rumusan: Hidup yang tenang dan bahagia bebas dari tekanan ekonomi, sosial dan emosi adalah faedah mengamalkan gaya hidup sihat.
Penjagaan kesihatan dan COVID-19
Kita faham sekarang bahawa mengamalkan gaya hidup yang sihat adalah penting untuk mengelakkan penyakit kronik yang membawa kepada komplikasi yang berbahaya.
Namun begitu, kita juga harus sedar bahawa dikala kita hidup di dunia pandemik COVID-19 ini, kesihatan badan dan usaha untuk mengelakkan penyakit kronik menjadi lebih penting.
Ini kerana, sudah diketahui bahawa co-morbid atau penyakit kronik sedia ada meningkatkan risiko komplikasi apabila kita menghidap sebarang jangkitan virus atau bakteria termasuklah penyakit COVID-19.
Maka, amalan gaya hidup sihat dan usaha mengelakkan penyakit kronik haruslah dilakukan mulai hari ini demi kesihatan badan yang baik.
Cara mengamalkan gaya hidup sihat
Jadi, bagaimana kita mahu ubah gaya hidup kita menjadi lebih sihat?
Di sini saya senaraikan 10 cara yang boleh kita sama-sama lakukan sebagai usaha mendapatkan badan yang sihat untuk kita sama-sama amalkan!
Jika tidak ikuti kesemuanya pun, sekurang-kurangnya bermulalah dengan 1-2 langkah dahulu, kemudian tambah lagi sedikit demi sedikit.
Diet sihat dan seimbang
Untuk medapatkan badan yang sihat, kita tidak dapat lari daripada menjaga pemakanan supaya ia seimbang dan menyihatkan badan.
Gunakan panduan Pinggan Sihat Malaysia yang memberi gambaran mudah bagaimana kita nak bahagikan kumpulan makanan harian kita pada pembahagian pinggan kepada suku suku separuh.
Suku nasi atau apa saja jenis karbohidrat seperti mi, bihun atau kuey teow.
Suku lauk yang berasaskan protein seperti telur, ikan, ayam atau daging.
Separuh adalah sayur-sayuran dan buah-buahan.
Dengan amalan Suku-Suku Separuh ini, ia sebenarnya menjamin kawalan pengambilan karbohidrat dan membantu kita mencapai keperluan sayur dan buah sebanyak 5 hidangan setiap hari. Tahukah anda 94.9% rakyat Malaysia tidak makan sayur dan buah yang mencukupi?
Amalan diet yang sihat juga adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula.
Jenis makanan segera seperti biskut, roti putih, bijirin sarapan, donut dan kek juga harus dielakkan sebaiknya.
Begitu juga dengan makanan daripada rantaian restoran makanan segera yang menyediakan burger, pizza dan ayam goreng yang tinggi dengan lemak trans dan tepu.
Seperti amalan pemakanan yang sihat, kita tidak dapat lari daripada isu kegemukan (obesiti) dalam mendapatkan kesihatan yang baik.
Jika berat badan anda dalam kategori gemuk atau obesiti, anda dalam bahaya. Anda harus fokus kepada usaha mengurangkan berat badan.
Ini kerana, kiraan BMI pada tahap obesiti meningkatkan pelbagai risiko penyakit seperti kencing manis, serangan jantung, strok, kanser dan banyak lagi.
langkah-langkah untuk mengawal BMI dan berat badan harus dilakukan dengan berterusan dan bukannya hangat hangat tahi ayam.
Ia boleh dilakukan dengan menjaga kualiti kalori makanan, mengurangkan gula, berpuasa dan bersenam secukupnya.
Jika anda tiada sebarang masalah kesihatan, lihat jika intermittent fasting sesuai atau tidak untuk anda amalkan dalam kehidupan harian.
Rajin-rajin bersenam
Terdapat banyak kebaikan apabila kita bersenam, ia dapat meningkatkan reaksi badan kepada hormon insulin, menguatkan otot dan jantung, meningkatkan metabolisma, mengawal tekanan darah dan juga bantu mengawal tekanan emosi.
Semua kesan tersebut menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik.
Reaksi badan pada insulin yang baik mengurangkan risiko kita untuk mendapat kencing manis.
Jantung yang sihat mengurangkan risiko serangan jantung. Otot yang sihat juga menjamin fleksibiliti badan yang baik dan mengurangkan risiko jatuh dalam kalangan warga emas.
Kawalan tekanan darah dan emosi juga menyumbang kepada kesihatan badan yang lebih baik.
Senaman boleh dilakukan dengan banyak cara. Ideanya adalah untuk meningkatkan kadar nadi lebih daripada nadi normal kita.
Antaranya adalah dengan Zumba, berjalan, jogging, berbasikal dan juga berenang.
Bersenam di rumah dengan teknik kitaran senaman atau high intensity interval training juga adalah teknik yang berkesan dan menjimatkan masa.
Selain itu, menetapkan target untuk 10 ribu langkah sehari juga adalah cadangan yang baik untuk diamalkan.
Tidur yang mencukupi
Tidur yang mencukupi pada waktu malam adalah penting.
Tidur dalam jadual yang sama setiap hari juga mengelakkan kitaran tidur kita daripada terganggu.
Tidur yang mencukupi adalah sekitar 7-8 jam untuk golongan dewasa.
Tidur yang tidak mencukupi menunjukkan peningkatan risiko untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, serangan jantung, strok dan banyak lagi.
Kitaran tidur yang tidak baik juga menganggu imbangan hormon dalam badan dan boleh menyumbang kepada kegemukan atau obesiti.
Oleh itu, tidur yang cukup dan berkualiti membantu dalam proses kita mendapatkan kesihatan yang baik.
Kawal tekanan perasaan
Penjagaan emosi dan mengelakkan tekanan adalah penting dalam menjaga kesihatan.
Ini kerana, kajian menunjukkan tekanan emosi dikaitkan dengan pelbagai kesan negatif. Antaranya adalah dengan mengganggu sistem pertahanan badan, meningkatkan risiko jangkitan kuman dan penyakit kronik.
Tekanan emosi juga boleh menyumbang kepada penyakit mental dan kebolehan badan untuk pulih daripada sebarang penyakit.
Oleh itu, sentiasa cuba amalkan senaman, dapatkan tidur yang cukup, berkongsi masalah dengan keluarga dan dekatkan diri kepada Tuhan.
Makanan yang kita ambil juga haruslah berkualiti dan penuh nutrisi kerana makanan yang tidak berkhasiat boleh meningkatkan risiko kemurungan.
Jika ada sebarang tanda kemurungan, segera berjumpa dengan doktor berdekatan dengan anda.
Berhenti merokok
Seperti yang diketahui, merokok menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit yang boleh membawa kepada kematian.
Namun begitu, masih ramai lagi perokok tegar yang sanggup menggadaikan wang ringgit untuk dibakar menjadi asap.
Kajian terbaru juga menunjukkan merokok bukan sahaja memberi kesan kepada si perokok malah kepada orang yang berada berdekatan.
Ini bermakna, seorang ayah yang merokok sebenarnya telah menyebarkan kesan negatif asap rokok tersebut kepada isteri dan anak-anak mereka.
Oleh itu, dalam menjalani gaya hidup yang sihat, merokok adalah perkara yang perlu ditinggalkan.
Pemeriksaan kesihatan berkala
Kita tidak tahu jika kita tidak dapatkan pemeriksaan.
Hampir 50% rakyat Malaysia yang menghidapi kencing manis dan darah tinggi tidak tahu mereka menghidapinya.
Ini menyebabkan mereka tidak mendapatkan rawatan dan terus-menerus mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat.
Akhirnya, mereka akan hadir ke hospital dengan kesan komplikasi penyakit tersebut seperti serangan jantung dan strok.
Strok dan serangan jantung biasanya akan datang dengan tiba-tiba. Ia juga memberikan kesan kecacatan kepada pesakit jika ia tidak membunuh.
Apabila dimasukkan ke hospital, barulah pesakit tahu dia sebenarnya mempunyai masalah darah dalam gula dan tekanan darah yang tidak terkawal.
Oleh itu, jika anda berumur 4o tahun ke atas, sentiasa dapatkan saringan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.
Malaysia mempunyai rangkaian kesihatan yang menyeluruh dan perkhidmatan kesihatan adalah sangat murah jika dibandingkan dengan negara lain.
Dengan bayaran RM 1 ke RM 5, kita boleh dapatkan perkhidmatan kesihatan yang bernilai ratusan hingga ribuan ringgit.
Jadi, mengapa tidak memanfaatkannya?
Amalkan puasa dan intermittent fasting
Berpuasa di bulan Ramadhan dan puasa sunat tidak seharusnya dilakukan hanya setahun sekali.
Ini kerana berpuasa menunjukkan pelbagai kebaikan kepada kesihatan badan.
Berpuasa dapat meningkatkan rekasi insulin dalam badan, mengelakkan penyakit kronik dan kanser serta membantu mengurangkan berat badan.
Ia boleh dilakukan dengan berhenti daripada makan buat beberapa jam dan makan semula pada tempoh waktu yang ditetapkan.
Sebagai contoh, jika kita berpuasa Ramadhan, berhenti makan sebelum waktu subuh dan berbuka pada waktu maghrib memberikan tempoh puasa hampir 12 jam.
Ada banyak lagi kaedah intermittent fasting yang lain seperti kaedah 16:8 atau berpuasa selang seli.
Mengamalkan puasa setiap minggu seperti puasa sunat hari isnin dan khamis juga membantu kita mendapatkan faedah berpuasa ini.
Jika anda perlukan panduan dan mahu lihat samada intermittent fasting ini sesuai atau tidak untuk anda, lihat panduan lengkap intermiitent fasting yang telah saya tuliskan ini.
Sertai komuniti atau kumpulan
Dalam setiap perkara yang dilakukan dalam hidup, jika dilakukan berseorangan dikhuatiri kita akan berputus asa di tengah jalan.
Oleh itu, cuba dapatkan sokongan daripada sahabat atau keluarga dan ajak mereka untuk turut serta mengamalkan gaya hidup sihat.
Sertai komuniti sihat yang sentiasa menjalankan aktiviti riadah atau senaman di kawasan perumahan atau kampung anda.
Saya pasti komuniti ini tidak susah untuk anda temui.
Komuniti untuk menguruskan berat badan dan bersenam juga ada di laman web dan media sosial. Buat sahaja carian di Facebook dan anda akan berjumpa dengan page dan group yang bermanfaat.
Kami dalam MSGRic akan bantu anda sihat. Anda tidak keseorangan, okey?
Akhir sekali, di era digital ini, manfaatkan aplikasi digital dan laman web untuk kebaikan dan kesihatan kita.
Ada pelbagai aplikasi peranti yang anda boleh muat turun dengan percuma.
Ada aplikasi senaman yang bantu anda rekod jarak larian, jumlah kalori senaman dan memberikan motivasi untuk senaman.
Aplikasi yang bantu anda kira kalori makanan secara terperinci juga banyak pilihan untuk dimuat-turun.
Sebagai contoh, aplikasi Nike Training Club untuk latihan senaman di rumah dan aplikasi MySejahtera untuk periksa gejala COVID-19.
Tidak dilupakan suplimen polifenol seperti vivix & resVyang sentiasa effektif untuk mempercepatkan usaha menguruskan badan secara sihat.
Comments
Post a Comment